Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions
Majlis Sambutan Hari Pos Sedunia Bagi Tahun 2015 Dan Pembukaan Rasmi Bangunan Baru Pejabat Pos Kuala Belait

IMG-20151013-WA0008 [640x480].jpg

IMG-20151013-WA0009 [640x480].jpg

IMG-20151013-WA0010 [640x480].jpg

Isnin 12 Oktober 2015/28 Zulhijjah 1436 – Majlis Sambutan hari Pos Sedunia  bagi Tahun 2015 yang diselajurkan dengan Majlis Perasmian Bangunan baru Pejabat Pos Kuala Belait telahpun diadakan pada pagi ini bertempat di bangunan baru Pejabat Pos Kuala Belait yang terletak di Jalan Maulana, Singa Menteri, Mumong, Kuala Belait. Bangunan tersebut yang dibina oleh Syarikat Double Stars Contractor Sendirian Berhad bermula pada tahun 2012 telahpun siap keseluruhannya pada tahun ini di atas tapak tanah seluas 4 ekar (1.6189 hektar) dengan harga $3,763,888.00.

Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi merasmikan Sambutan Hari Pos Sedunia 2015 dan perasmian bangunan Pejabat Pos Kuala Belait ialah Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar, Menteri Perhubungan Negara Brunei Darussalam. Turut hadir ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohd Shafiee bin Ahmad, Ketua Kampong Lumut 1 dan Yang Berhormat Awang Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin, Ketua Kampong Mumong. Hadir sama di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan; Yang Mulia Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan; Yang Mulia Awang Haji Mohamad Manan bin Haji Lakim, Ketua Pos Agung selaku Pengerusi Majlis, Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan, Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian Perhubungan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya, wakil dari Jabatan-jabatan Kerajaan, Syarikat-syarikat Swasta, sekolah-sekolah serta maktab-maktab di Daerah Belait.

Hari Pos Sedunia disambut pada setiap 9 haribulan Oktober oleh 192 negara ahli bagi memperingati hari ulang tahun penubuhan Universal Postal Union atau Kesatuan Pos Sedunia pada tahun 1874. Tema sambutan pada kali ini ialah 'Communication Tools' atau Alat-alat Komunikasi. Tema ini membawa makna penerapan budaya berkomunikasi menggunakan alat-alat perhubungan pos yang canggih dan moden dalam operasi perkhidmatan pos. Contohnya peningkatan pembelian dan penjualan secara 'online' yang mengakibatkan peningkatan bisnes 'e-commerce'  domestik dan merentasi sempadan. Pengendali-pengendali perkhidmatan pos sejagat berperanan mengimbangi peningkatan ini dengan mengadakan perkhidmatan value-added seperti sistem kesan dan jejak serta  berkualiti menggunakan teknologi terkini.

Sejajar dengan perkembangan meluas tersebut, sektor pos adalah digesa untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing. Selaku ahli kepada Kesatuan Pos Sedunia, Jabatan Perkhidmatan Pos juga tidak terkecuali dari komitmen ini yang mana usaha-usaha telah, sedang dan akan dilaksanakan untuk mencapai hasrat tersebut. Sejak tertubuhnya Jabatan ini sehingga sekarang, sistem berpaksikan teknologi telah memainkan peranan penting dalam perkembangan pos tempatan. Contohnya, sistem rangkaian yang menghubungkan cawangan-cawangan pos diseluruh Negara yang dikenali sebagai Postal Counter Automated System (PCAS) kini memudahkan dan mempercepatkan urusan perkhidmatan kaunter bagi orang-ramai. Sistem jejak dan kesan domestik bagi perkhidmatan peket-peket kecil serta jejak dan kesan IPS bagi bungkusan pula memberikan informasi mengenai status barangan-barangan yang dibeli mahupun yang dihantar.

Selaras dengan usaha untuk meningkatkan Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) inisiatif-inisiatif lain juga diusahakan seperti mengadakan jerayawara, pemantauan berterusan keatas operasi perkhidmatan, menilai semula waktu-waktu perkhidmatan/tatacara bekerja serta memberikan latihan yang berterusan kepada pegawai dan kakitangan jabatan.

Majlis Perasmian Pejabat Pos Kuala Belait yang baru merupakan salah satu dari aktiviti yang dirancang bagi meraikan Hari Pos Sedunia pada tahun ini. Lain-lain aktiviti juga telah dirancang dan diungkayahkan seperti Majlis Membaca Surah Yassin, Tahlil, Rathib Al-Attas, Doa Kesyukuran dan Sembahyang Berjemaah dibangunan baru ini pada 10 Oktober 2015 yang lalu. Lain-lain acara yang dirancang merupakan antaranya acara kejohanan bowling bagi warga pos, kempen menderma darah serta Hari Terbuka Pos di Pejabat-Pejabat Pos MPC, Muara, Tutong, Seria dan Kuala Belait.

Jabatan Perkhidmatan Pos mengharapkan Sambutan hari Pos Sedunia pada tahun ini akan lebih bermakna bagi warga pos keseluruhannya terutama dalam mengeratkan tali silaturrahim. Sempena Sambutan Hari Pos Sedunia pada tahun ini, Jabatan Perkhidmatan Pos mengucapkan "Selamat Menyambut Hari Pos Sedunia" kepada orang ramai khususnya kepada pelanggan-pelanggan pos yang setia.   

Attachments
Created at 14/12/2015 02:46 PM by Siti Hawa binti Aboo Samah
Last modified at 14/12/2015 02:46 PM by Siti Hawa binti Aboo Samah