Khamis 9 Oktober 2014 / 14 Zulhijjah 1435 –
Majlis Khatam Al-Quran dan Solat Hajat bagi memperingati Hari Pos
Sedunia 2014 telahpun diadakan pada petang ini bertempat di Masjid
Pengiran Muda 'Abdul Malik, Kampong Tungku/Katok, Gadong. Sambutan Hari
Pos Sedunia diraikan oleh Jabatan Perkhidmatan Pos pada setiap 9 Oktober
dan tema pada tahun ini ialah 'Alat-alat Komunikasi'.
Hadir
di majlis tersebut ialah Yang Mulia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang
Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof, Setiausaha Tetap
Kementerian Perhubungan; Yang Mulia Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji
Yunos, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan; Yang Mulia
Awang Haji Mohamad Manan bin Haji Lakim, Ketua Pos Agung selaku
Pengerusi Majlis, Pengarah-Pengarah Bahagian, Ketua-Ketua Jabatan,
Timbalan-Timbalan Ketua Jabatan serta pegawai dan kakitangan Kementerian
Perhubungan dan Jabatan-Jabatan Di Bawahnya.
Majlis
pada petang ini dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti
dengan Khatam Al-Quran oleh pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan
Perkhidmatan Pos. Selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi sebuah
Negara Zikir, sambutan Jabatan Perkhidmatan Pos pada tahun ini
menghasratkan pembudayaan melazimkan pembacaan Al-Quran sebelum
memulakan pekerjaan. Pembudayaan ini diharap akan dapat meningkatkan
rasa taqwa, rendah diri dan keinsafan serta rasa tanggungjawab dalam
melaksanakan tugas dan tanggungjawab seharian di kalangan pegawai dan
kakitangan jabatan berkenaan.
Acara
juga diselajurkan dengan Solat Sunat Hajat bagi memohon keberkatan atas
usaha-usaha berterusan Jabatan Perkhidmatan Pos dalam memberi
perkhidmatan terbaik kepada orang ramai dan diakhiri dengan Solat Asar
berjemaah.